Demo lo ni tak supo mulo!
admin | January 25, 2009Demo lo ni tak supo mulo!

Seperti yang dijanjikan selepas ketibaan Munsif, saya keluar menuju ke Students’ Union untuk mengambil banner USIC dan terus menuju ke Ellesmere Green di Burngreave. Namun oleh kerana banner tersebut terlalu besar untuk dibawa ke demo, kami mengambil keputusan untuk terus ke Burngreave.
Pada minggu ini, demo akan bermula di Burngreave dan bukan di hadapan Town Hall seperti kebiasaannya. Juga pada minggu ini, inilah kali pertama sejak isu Palestine dihangatkan dengan serangan kejam rejim Zionis keatas Gaza beberapa minggu lalu, organisasi muslim tampil menganjurkan demonstrasi. Kebiasaannya, organisasi- organisasi seperti Palestine Solidarity Campaign, Stop War Coallation dan sebagainya akan terkehadapan dalam menganjurkan demonstrasi seperti ini.
Tetapi pada minggu ini Muslim Association of Britain (MAB) cawangan Sheffield mengambil inisiatif menganjurkan demo bersama- sama masjid- masjid diseluruh Sheffield. Segala perancangan diatur rapi bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Mensyuarat pembahagian tugas dan taklimat sekuriti diadakan pada malam demonstrasi di pejabat MAB. Saya sendiri telah diberikan tugas untuk menjadi official photographer untuk demo tersebut.
1055am, Ellesmere Green.
“Seems like not a good turn-up today”, Luah Frode, presiden Palestine Society, University of Sheffield.
“I think most of them are busy with exams… or maybe they are coming late”, Jawab saya ringkas, cuba menyedapkan hati walau pada hakikatnya jumlah yang hadir ketika itu agak rendah jika berbanding minggu-minggu sebelumnya.Saya mengenali Frode kira seminggu yang lalu dalam satu meeting berkaitan isu Palestine. Dan ya, dia adalah salah seorang dari ramai non-muslim yang kuat memperjuangkan isu Palestine dikampus.
Saya memusingkan badan cuba mencari kelibat pelajar Malaysia, namun yang kelihatan hanya Mail dan Tarmizi. Kedua- duanya saya terserempak ketika dalam perjalanan tadi. Dua kali email dihantar bagi mengingatkan tentang demo ini.
“Huh…” Hampa.
“Mungkin diorang datang lambat kot” Bisik hati supaya berhusnuzzon.
Telahan saya ada benarnya, tidak lama kemudian makin ramai yang tiba menyertai perkumpulan tersebut. Ellesmere Green adalah sebuah kawasan lapang yang dikelilingi kedai dan boleh dikatakan sebagai pusat kepada pekan kecil Burngreave. Burngreave sendiri boleh boleh dikatakan sebagai pekan antarabangsa kerana menurut penduduk disitu terdapat 52 jenis bahasa yang dipertuturkan disitu. ‘A world in a small town’.
Tepat jam 12 tengahari, pihak penganjur meminta agar semua yang hadir mula berkumpul ditepi jalan kerana perakan akan dimulakan. Kira- kira 300-400 orang yang hadir. Agak kecil sebenarnya jika dibandingkan dengan yang terdahulu. Saya terus berlari kehadapan untuk mengambil beberapa gambar permulaan perarakan. Terdapat beberapa orang anggota polis mendahului perarakan bagi memastikan jalan dikosongkan bagi laluan perarakan. Menurut plannya, perarakan akan menuju ke Devonshire Green dengan melalui kawasan City Centre. Jauhnya kira- kira 2.5 kilometer. Sambil berarak melaungkan slogan yang telah ditetapkan, beberapa orang ditugaskan mengedarkan leaflet berkaitan isu Palestine.
Saya terus berada dikelompok hadapan, merakamkan aksi- aksi peserta perarakan. Kira- kira 1 kilometer, saya memperlahankan langkah dengan harapan dapat merakamkan gambar dikelompok belakang pula. Dalam hati saya berpuas hati dengan bilangan yang menyertai demo ini. Cuma sedihnya bilangan wajah yang saya kenal boleh dibilang dengan jari sahaja.
“Mungkin diorang busy exam kot”.
Makcik Tua
Nun dihujung perarakan terdapat satu gap yang jauh antara peserta demo. Kira- kira 30 meter. Kelihatan seorang perempuan bersama dua orang anaknya sedang berjalan perlahan- lahan dan seorang anggota polis kelihatan sedang ‘bersembang’ dengan mereka. Saya berlari-lari anak bagi melihat apa yang berlaku. Mungkin ada yang menarik yang boleh dirakamkan.
“SubhanAllah!”
Dihujung belakang perarakan terdapat seorang perempuan tua, bertongkat memimpin dua orang anak perempuannya. Umurnya dalam lingkungan 60-70an mungkin. Langkahnya terlalu perlahan sehingga dia ditinggal oleh peserta- peserta lain. Terhincut- hincut seakan mengagahkan diri untuk meneruskan perjalanan. Hati saya bagai ditiup menjadi sebak. Bagai mahu menitiskan air mata. Terharu.
Allahuakbar!
Rupa- rupanya anggota polis tersebut cuba menasihati mak cik tadi untuk berhenti ditepi jalan. Ini kerana terdapat banyak kenderaan sedang beratur dibelakang bagi melalui jalan tersebut semula. Kagum saya melihat kesungguhan makcik tersebut. Dalam usia sebegitu dan bertongkat, masih sanggup bersusah- payah menyertai demonstrasi. Sungguh besar pengorbanannya. Sungguh besar nilai ukhuwah dihatinya!
Dalam hati saya berazam, selagi mampu saya akan terus bersama berdemo menyatakan sokongan kepada saudara kita di Palestine. Kalau makcik tersebut mampu ter’kedek- kedek’ menyertai demo, mengapa kita yang sihat sempurna memberi beribu alasan?
Isu Palestine bukan bermusim hanya ketika mereka diserang kejam sahaja. Janganlah hanya ketika itu kita bersemangat bersengkang mata menyiapkan tshirt, placard dan banner untuk berdemo, tetapi bila serangan dihentikan, banner hilang kemana kita sunyi tiada berkata. Selagi sekatan tidak dihentikan dan tanah mereka tidak dipulangkan, selagi itu masalah ini perlu terus diperjuangkan.
Perubahan itu tiada bermusim dan bukan kerana semangat, tetapi atas kesedaran dan kehendak yang membuak. Bukan hanya hangat- hangat tahi ayam, dibiarkan sekejap sejuk membeku.
Ada benar kata housemate saya, “Demo* lo ni tak supo mulo!”
*demo disini membawa erti demonstrasi bukan ‘kamu’ seperti dalam slanga negeri Terengganu